JAWATANKUASA KESKEP 2016-2018

Friday, 15 June 2012

ADAB MEYAMBUT TETAMU




1. Niat Yang Betul

Tuan rumah perlu berniat mengharapkan pahala dalam menyambut kedatangan tetamu daripada makanan yang dihidangkan serta sambutan yang baik kepada mereka. Tetamu juga hendaklah meniatkan pahala daripada mendatangi undangan tersebut kepada tuan rumah. Dengan demikian, kedua-dua belah pihak akan mendapatkan pahala atas sebab itu.


2. Memuliakan Tetamu

Tuan rumah perlu menerima tetamunya dengan hormat dan memuliakan, iaitu menerimanya dengan senyuman, wajah yang ceria dan mengucapkan kata-kata selamat datang dan sambutan.Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


3. Menempatkan Tetamu di Tempat yang Sesuai

• Mempersilakan duduk di tempat yang paling selesa.
• Jika tetamu wanita, tempat yang tidak menyingkap aurat mereka.
• Tempat yang tidak tersebar bau yang kurang senang dan kotor.



4. Menyegerakan Hak Tetamu

Tuan rumah perlu segera menghidangkan hak tetamu seperti air minuman, makanan dan sebagainya. Jangan lambat dalam menyediakan hidangan sehingga tetamu hampir pulang. Menghidangkan makanan merupakan adab yang dianjurkan, sebagaimana yang disebut dalam fitrah Allah yang bermaksud:

”Lalu dihidangkan kepada mereka.”
(surah al-Dhariyat 51:27)


5. Tidak Berlebihan dalam Menjamu Tetamu

Tuan rumah tidak perlu memberatkan diri diluar kemampuannya dalam menyediakan makanan kepada tetamu. Namun, hidangan yang disediakan untuk tetamu perlu disertai dengan sikap memuliakan mereka. Nabi Ibrahim a.s telah menyembelih seekor anak lembu yang gemuk untuk tetamunya. Itu ialah hidangan terbaik yang dimiliki baginda.


6. Layanan Terbaik kepada Tetamu

Melayani sendiri tetamu merupakan satu adab yang dianjurkan dalam al-Quran, Sebagaimana yang disebut dalam kisah Ibrahim a.s Allah berfirman yang bermaksud :

“Kemudian ia masuk menemui keluarganya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang).Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: ‘Silakan makan'.
(Surah al-Dhariyat 51:26-27)

Antara layanan baik yang boleh diberikan kepada tetamu seperti menyediakan tempat tidur yang bersih, memastikan anak-anak tidak bising tidak mengganggu tetamu dan sebagainya.

7. Menghantar ke Muka Pintu

Apabila tiba waktu tetamu akan pulang, tuan rumah perlu menghantarnya sampai ke pintu rumah sebagai tanda memuliakan dan menghormatinya.
Abu ‘Ubaid pernah mengunjungi Imam Ahmad di rumahnya. Dia bercerita:

”Ketika aku bangkit ingin pulang, Imam Ahmad juga bangun bersamaku. Aku berkata: ‘Jangan susah wahai Abu Abdillah, ’Beliau mengatakan bahawa al-Sha’bi berkata: ‘Termasuk kesempurnaan memuliakan tetamu ialah tuan rumah berjalan bersama tetamu sehingga ke pintu rumah dan sehingga mereka menaiki kenderaannya.”
(Al-Adab al-Shar’iyyah, jil.3 hlm.227)

Tuan rumah tidak terus masuk ke rumah dan mengunci pintu sejurus tetamu keluar rumah kecuali setelah tetamu sudah berlalu pergi atau kenderaannya sudah berjalan.


[Sedutan : Majalah solusi isu 35]

-Artikel sumbangan Biro Sosial & Kebudayaan-

No comments:

Post a Comment