JAWATANKUASA KESKEP 2016-2018

Friday, 13 July 2012

IKTIBAR DARIPADA SEBATANG PENSEL

Pernah seorang anak lelaki bertanya kepada ibunya yang sedang menulis, ”Apa ibu sedang tulis? Ibu menulis tentang siapa?Atau pengalaman ibu?”

Jawab ibunya, “Ibu menulis tentang diri kamu, tapi ada yang lebih penting daripada  itu iaitu pensel ini. Ibu berharap hidupmu adalah seperti pensel ini. Walaupun sebatang pensel, ada lima nilai yang boleh kita pelajari daripadanya. Mahu tahu?” 

“ya, ibu”

 
Pertama, pensel ini mengingatkan jika kamu boleh membuat sesuatu yang hebat dalam hidup ini. Jangan lupa, ibarat pensel, ada tangan yang memengangnya.  Maka, ingatlah akan adanya kuasa yang membimbing langkah hidupmu iaitu Allah s.w.t. Dia akan selalu membimbing kita menurut kehendak-Nya.

Kedua, Ketika menulis, pensel kerap menjadi tumpul. Ibu terpaksa berhenti untuk mengasahnya. Pensel ini pasti menderita ketika diraut, tetapi hasilnya ia menjadi tajam dan bagus tulisannya. Begitu juga akan berlaku dalam hidup kamu. Kamu mesti berani menempuh kesusahan kerana ia menjadi baja atau sebab untuk dirimu menjadi lebih baik.

Ketiga, pensel ini mungkin menghasilkan tulisan yang salah .Namun kita boleh memadamkan dan betulkan tulisan ini semula. Begitulah yang ibu harapkan kepada anak ibu ini, sentiasalah memperbaiki kesalahan dalam hidup. Ia bukanlah sesuatu yang hina kerana dengan memperbaikan kesalahan, kita akan sentiasa berada di jalan yang benar.

Keempat, tahukah anak ibu mana yang lebih penting; luar atau isu pensel ini? Sudah tentu arang atau korban di dalamnya. Oleh sebab itu, berhati-hatilah dengan apa yang tidak baik dalam diri kamu itu dan hindarilah.

Kelima, pensel ini selalu meninggalkan tanda atau goresan. Begitu juga kamu, apa sahaja yang kamu buat pasti akan meninggalkan kesanya pada diri atau pada orang lain. Ibu berharap kamu akan selalu berhati-hati dan bijak dalam bertindak.

Inilah antara kata-kata yang baik untuk si anak membawa prinsip yang positif, Wahai ibu bapa, jangan berputus asa.Apa sahaja kata-kata semangat yang kita ulang-ulangkan kepada anak-anak (walau Nampak seperti mereka tidak mengendahkan) pasti akan memberi bekas dalam jiwa mereka. Ulang-ulangkanlah..


[Sedutan: Majalah Solusi isu 35]

-Artikel sumbangan Biro Sosial & Kebudayaan-

No comments:

Post a Comment