JAWATANKUASA KESKEP 2016-2018

Monday, 23 July 2012

TIP-TIP UNTUK DI APLIKASI DALAM PEMBENTANGAN KERTAS KERJA ANDA





1.             Hubungan Mata dengan  Audiens

Antara rahsia untuk “menghidupkan” pembentangan anda adalah dengan mewujudkan “interaksi mata”antara anda dengan sidang pendengar.Jangan sekali-kali menumpukan 100% tumpuan anda pada nota. Tindakan sebegitu akan meminggirkan audiens anda. Anda hanya perlu merujuk nota anda sebanyak 10% sahaja,  manakala 90% lagi perlu dihadapkan kepada audiens anda.

Berusahalah untuk melihat wajah semua audiens anda sepanjang pembentangan. Pandang setiap audiens 3-7 saat. Usah memandang seseorang semasa pembentangan lebih daripada tempoh tersebut melainkan jika anda sedang berkomunikasi secara personal dengannya semasa pembentangan.

2.             Pamerkan wajah yang Yakin

Pembentangan yang mantap juga lahir daripada wajah berkeyakinan. Pastikan air muka anda tidak menggambarkan keletihan, suram dan tidak bermaya. Sekiranya anda keletihan, lakukan sedikit senaman atau kunyah sesuatu untuk mengembalikan kesegaran anda.

Elakkan juga wajah yang menggambarkan kerisauan, bimbang dan takut. Jangan selalu menunduk ke bawah untuk mengelakan audiens melihat wajah anda yang kerisauan. Suara dan wajah perlu bersatu untuk menghasilkan pembentangan yang berkesan.

3.             Atasi Keadaan Berpeluh

Kadangkala pembentang mudah dan cepat berpeluh disebabkan keadaan dewan atau kepenatan. Jadi, sediakan tisu atau sapu tangan untuk mengesat peluh. Jangan biarkan wajah sentiasa berpeluh kerana ia akan mengundang suasana tidak selesa kepada audiens.

4.             Lemparkan Senyuman Manis

Senyum adalah “kuasa” yang berkesan untuk menghidupkan suasana yang mesra dengan audiens. Mungkin anda tidak mahir untuk berjenaka, namun senyuman ialah tindakan yang paling mudah untuk dilakukan. Suasana mesra dengan audiens perlu ada supaya audiens mendapat input anda secara seronok. Wajah yang masam sukar untuk menarik perhatian. Bercakap sambil senyum adalah “bonus” bagi seorang pembentang.

Satu lagi bahasa badan lain yang tidak kurang penting juga ialah pergerakan tangan. Tangan anda adalah salah satu anggota yang mampu menyampaikan sesuatu makna. Dalam pembentangan , pergerakan tangan dengan gaya tersendiri mampu menambahkan keberkesanan dalam menyampaikan sesuatu maksud yang ingin anda sampaikan. Ada kalanya pembentang akan menggunakan gerakan tangan untuk menggambarkan sesuatu hajat. Contohnya seperti menunjukkan bilangan,  menaikkan semangat dan sebaginya.

Namun harus diperhatikan beberapa larangan dalam menggunakan gerakan tangan dalam pembentangan:

a)             Gaya Membosankan

Gaya tangan yang sama sepanjang masa akan membosankan penonton. Kepelbagaian penggunaan gaya tangan akan memberi kesan yang positif kepada audiens. Contohnya jika pembentang sedang bercakap sesuatu yang menggambarkan objek besar,  maka gunakan tangan anda membuat satu bulatan tanda gambaran objek itu. Ini akan membuat audiens dapat mengagak serta menjangka apa yang dimaksud kan.

Elakkan gerakan tangan yang statik sama ada ke atas ke bawah sahaja. Lakukan variasi pada gerakan tangan anda. Apabila anda bebas menggerakkan tangan anda, anda akan dilihat sebagai pembentang yang menguasai suasana. Jangan mengongkong pergerakan tangan anda, gayakan secara bebas!

b)             Tangan Mudah Gementar?

Ini masalah yang biasa bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan dunia pengucapan awam. Tidak hairanlah jika ada dalam kalangan mereka yang sudah lama bercakap di hadapan khalayak ramai masih mempunyai masalah tersebut .

Anda mampu mengatasinya dengan melakukan senaman sebelum memulakan pembentangan untuk menaikan stamina dan keyakinan diri. Selain itu,  anda juga boleh memegang rostrum untuk menghilangkan rasa gementar  tanga anda. Semestinya pengalaman dan doa ialah ubat yang paling mujarab menangani masalah ini.

c)             Elakkan Berkelakuan Sebegini

Ada beberapa perkara yang perlu dielakkan apabila menggunakan tangan ketika mengendalikan slot pembentangan.

Ø    Memasukkan tangan anda ke dalam poket. Tidak kira sama ada sebelah tangan atau kedua-duanya sekali, anda perlu mengelakkannya.

Ø    Jangan bermain-main dengan kunci di dalam poket seluar anda ketika sedang berceramah.

Ø    Elakkan berdiri dengan meletakkan kedua-dua belah tangan anda di belakang

Ø    Elakkan daripada menepuk meja atau rostrum anda berulang kali dengan menggunakan tangan. Tambahan pula apabila anda meletakkan mikrofon yang dalam keadaan terpasang di atas meja atau rostrum tersebut . Tindakan seperti ini akan membuatkan audiens rasa tidak selesa dan akan mengganggu konsentrasi mereka.

Ø    Elakkan daripada tangan menghalang slaid

Ø    Elakkan mengarah-arahkan audiens anda dengan menghalakan tangan atau jari kepada audiens dengan kerap kerana tindakan ini bukan sahaja kelihatan kurang sopan bahkan membuatkan audiens tidak selesa kerana seolah-olah anda mencari-cari kesalahan mereka.

[Sedutan: Majalah Solusi Isu 30]

-Artikel sumbangan Biro Sosial & Kebudayaan-

No comments:

Post a Comment